Dua beradik didakwa membunuh

4 Jan 2024 • 3:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh, P. Jagdeeshraj, 20, dan P. Vasantharaj, 21, bersama-sama tiga orang yang masih bebas didakwa membunuh Muhammad Syafiq Abd Latif, 25, kira-kira 1.08 pagi, di tepi persimpangan Jalan Trus-Jalan Ungku Puan di sini pada 27 Okt tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan perubatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina manakala kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci kereta dan pembantu kedai tidak diwakili peguam. -Bernama