Dua beradik dikhuatiri lemas, hanyut ketika ambil bola dalam longkang

4 Dec 2025 • 8:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi SAR mencari dua mangsa yang disyaki hanyut di Taman Prima Saujana pada Khamis.

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang, dekat sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.32 petang.

"Seramai enam orang anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bergegas ke lokasi yang jaraknya sejauh lima kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati dua mangsa lelaki berusia 12 dan 14 tahun telah hanyut dibawa air.

“Ketika ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan di kawasan longkang utama,” katanya.