Dua beradik ditahan bersama pistol, peluru

LocalPolitics
31 Jul 2025 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua beradik ditahan bagi membantu siasatan selepas menemui sepucuk pistol bawah tilam. Foto: PDRM

TAPAH – Polis menahan dua beradik bersama sepucuk pistol dan peluru hidup dalam serbuan di Kampung Belakang Pasar Bidor, dekat Bidor, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan dibuat selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdengar bunyi letupan kira-kira jam 9.20 malam.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah hadir ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan di sebuah rumah lot dua tingkat menemukan sepucuk pistol jenis Revolver.38 Smith & Wesson, empat butir peluru hidup dan sebutir kelongsong peluru dalam chamber yang disembunyikan di bawah tilam.

“Terdapat juga kesan serpihan selak peluru di ruang tamu bahagian atas dan bawah rumah tersebut akibat tembakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Johari berkata, dua suspek lelaki berusia 45 dan 46 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif methamphetamin,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos depan bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.