Dua beradik hempuk wanita guna televisyen dikenakan perintah PKW

18 Feb 2025 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh menghempuk seorang wanita menggunakan televisyen dikenakan denda Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama empat jam sehari dalam tempoh 30 hari. Foto 123RF

TAWAU - Tindakan dua beradik 'menghempuk' seorang wanita menggunakan televisyen membawa padah apabila dikenakan denda Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama empat jam sehari dalam tempoh 30 hari.

Tertuduh, Kartika Ridwan, 31, dan kakaknya, Kasmila Ridwan, 39, masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh kira-kira jam 6 petang 31 Disember lalu di flat Fajar di sini, dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 29 tahun.

Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Don Stiwin Malanjum memutuskan hukuman tersebut selain memerintahkan dua beradik dikenakan bon berjumlah RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.