
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut ialah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan berusia tujuh tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi dan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak telah diarahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat. Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan pintu rumah telah dikunci.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat dua kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurutnya ibu bapa kanak-kanak yang maut dalam kebakaran itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Dua beradik berusia enam dan sembilan tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Dewan, Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi – JBPM Selangor
@bombaJBPM pic.twitter.com/nSB44kO0Rh
— BERNAMA (@bernamadotcom) January 1, 2023
Sumber: BERNAMA
The post Dua Beradik Rentung Dalam Kebakaran Di Gombak – Bomba appeared first on Siakap Keli.
