TUMPAT - Kegiatan dua beranak memburu spesies helang untuk dijual di pasaran gelap sejak awal tahun lalu akhirnya kecundang selepas dicekup di sini Rabu lalu.
Serbuan berasingan bermula kira-kira jam 10.05 malam dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan di dua lokasi terbabit menemui lima ekor helang iaitu tiga spesies Lang Siput (Haliaeetus leucogaster), manakala dua lagi Lang Hindek (Nisaetus cirrhatus).
Menurutnya, turut dirampas spesies burung dilindungi iaitu dua ekor disyaki tiong mas dan dua ekor disyaki ruak-ruak.
**media[3548924]**
"Barang lain yang dirampas ialah sebuah kereta jenis Honda Jazz, motosikal Honda Wave, dua telefon bimbir serta dua sarung tangan kulit.
"Nilai rampasan kesemua barang kes mencecah RM101,760," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu ayah dan anak.
Katanya, siasatan awal suspek telah membuat pengakuan mereka hanya berperanan sebagai pencari atau pemburu hidupan liar.
"Suspek menyatakan helang dan burung-burung yang dirampas diburu dan ditangkap dikawasan sekitar kampung dan hutan-hutan berhampiran.
"Burung-burung helang yang dirampas dipercayai untuk dijual kepada peminat burung dan orang perseorangan selain suspek disyaki terlibat dalam sindiket penjualan hidupan liar melalui media sosial," ujarnya.
Tambahnya, Jabatan Perhilitan menegaskan kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti penyeludupan dan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.
"Semua pihak disaran memainkan peranan dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my," ujarnya.

