Dua Beranak Maut Dalam MPV, Disyaki Lemas Akibat Gas Karbon Monoksida

LocalCars
18 Sep 2025 • 4:33 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Dua beranak ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, Cheng, awal pagi Khamis.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa dikenali sebagai Zabanah Abu Hussin, 57, seorang ibu tunggal, serta anak perempuannya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25.

image is not available
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.24 tengah malam yang memaklumkan penemuan dua wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida selepas berhenti untuk berehat tanpa mematikan enjin kenderaan.

“Ketika anggota tiba, enjin dan penghawa dingin masih terpasang manakala semua tingkap tertutup. Kedua-dua mangsa lengkap berpakaian serta ditemui berbaring di kerusi hadapan. Pegawai perubatan Hospital Melaka mengesahkan mereka sudah meninggal dunia,” katanya.

image is not available

Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi.

Menurut Dzulkhairi, sampel darah mangsa turut dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis dadah, alkohol serta gas karbon monoksida.

image is not available

Foto: Sinar Harian

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan penuh. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian (Nor Farhana Yaacob)