
KUALA NERUS: “Arwah suami merancang mahu berpindah ke rumah ibunya selepas saya selesai berpantang tetapi tidak kesampaian.”
Demikian luah Nur Izzah Ahmad, 36, isteri kepada Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, yang maut bersama anak sulungnya, Rehan Yusof, 9, dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Tok Jembal, di sini, hari ini.
Nur Izzah berkata, suaminya sebelum ini sudah merancang untuk berpindah ke rumah ibunya, di sini selepas dia selesai berpantang anak kedua.
Katanya, rancangan itu bagaimanapun ditangguhkan kerana dia baru sahaja tamat tempoh berpantang anak keduanya, Raees yang berusia tiga bulan.
“Bulan depan arwah suami cakap kami pindah ke rumah ibunya. Malah, dia sudah merancang macam-macam untuk rumah tersebut termasuk memasang pemanas air. Disebabkan saya berpantang di rumah emak di Kampung Paloh, arwah tangguhkan hasrat untuk berpindah.
“Kelmarin, arwah datang ke rumah mentua dan bermalam di sana sebelum pulang ke Tok Jembal petang semalam bersama anak sulung,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini.
Nur Izzah berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan arwah suaminya sebelum kejadian, namun pesanan terakhirnya supaya mengambil cuti masih terngiang-ngiang di fikirannya.
“Arwah minta saya mohon cuti hari ini kerana Raees kurang sihat. Tidak sangka pula hari ini saya bercuti disebabkan kejadian yang menimpa arwah,” katanya.
Nur Izzah berkata, hasil perkahwinannya dengan arwah suaminya pada 2021, mereka dikurniakan dua anak iaitu Yusuf Ali, 4, dan Raees.
Sementara itu, ibu kandung Rehan, Siti Nasuha Mohd, 32, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anak tunggalnya itu adalah menerusi panggilan video, malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, Amirul Fahmi dan Rehan Yusuf ditemukan berpelukan di ruang atas rumah dua tingkat berkenaan selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran awal pagi tadi. – UTUSAN
The post Dua beranak maut rumah terbakar: Mangsa rancang pindah tinggal dengan ibu appeared first on Utusan Malaysia.





![[KEMASKINI] Bapa dan anak ditemui rentung berpelukan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-26-at-09.50.53-1024x683.jpeg)