
KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja batik buntu memikirkan perbelanjaan bagi menampung keperluan keluarganya terutama persediaan persekolahan anak kerana dia tidak dapat bekerja selepas melecur anggota badan akibat terkena percikan api dalam kejadian Jumaat lalu.
Mohd Mujaddidi Mohd Noor, 34, dari Kampung Gelugor Haji Tahir, di sini, berkata, insiden tidak diduga yang berlaku kira-kira jam 5 petang di Kampung Pengadang Baru, di sini turut menimpa anaknya, Nur Aisha Mawaddah yang berusia dua tahun.
"Kebetulan petang itu saya, isteri (Nurul Asma Muda, 31) dan keluarga ke rumah abang ipar untuk membantu membuat persiapan satu majlis di situ.
"Isteri bantu untuk memasak dan kebetulan juga terdapat tempat pembakaran sampah. Ketika sampah dikumpul dan dibakar tiba-tiba berlaku satu letupan berserta percikan api.
"Saya yang berada berdekatan segera berpaling untuk melindungi anak yang berada di atas riba menyebabkan bahagian kiri badan terkena percikan api dan anak turut terkena percikan api pada bahagian muka. Mungkin dia berpaling untuk melihat api yang menyambar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Isnin.
Mohd Mujaddidi berkata, sejurus selepas insiden itu dia segera memandu kereta dan terpaksa menahan sakit sepanjang perjalanan 15 minit ke hospital.
"Saya ketika itu masih terkejut dan bimbangkan anak yang cedera pada bahagian wajah. Saya nyalakan lampu dan memandu di lorong kecemasan.
"Mujurlah kami selamat tiba di hospital. Kami segera dikejarkan ke unit kecemasan dan dimasukkan ke 'red zone' sebelum menerima rawatan," katanya yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, luka akibat melecur pada bahagian tangannya memakan masa untuk benar-benar pulih dan dia terpaksa 'berehat' kerana tidak dapat bekerja.
Selain lengan, dia turut cedera pada leher, telinga dan sebelah wajah.
"Doktor akan lihat dahulu keadaan lengan saya mungkin terpaksa ambil kulit lain untuk tampal pada bahagian itu kerana kecederaan agak dalam.
**media[2117452]**
"Saya buntu juga memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung tambahan pula musim persekolahan akan tiba tidak lama lagi. Saya runsing memikirkan perbelanjaan akan datang kerana isteri tidak bekerja," katanya yang mempunyai tiga anak berusia lapan, enam dan dua tahun.
Menurut Mohd Mujaddidi, gajinya sebagai tukang warna batik dibayar dalam tempoh dua minggu sekali bergantung kepada jumlah batik yang disiapkan.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Mujaddidi di talian 0112196 6899 atau menyalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1110029000311730 (Nurul Asma).
