
Kota Kinabalu: Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana menggunakan dokumen digital palsu untuk menuntut insentif Penjana Kerjaya 2.0 yang ditawarkan kerajaan.
Pemegang saham Louis Chin Yuk Su, 33, dan pengawal kewangan Choong Li Ching, 40, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga, pada Khamis.
Mereka berdua telah menggunakan dokumen palsu iaitu Data Penjana Kerjaya Majikan sebuah kolej swasta di sini untuk memohon program insentif pengambilan pekerja Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM4,800 melalui laman web Penjana Kerjaya pada 2 Okt 2020 di Wisma Perkeso, Tanjung Aru dekat di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Semasa rayuan, peguam Dominic Chew yang mewakili Chin dan peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman bagi Choong, memohon denda rendah dengan mengatakan kedua-dua tertuduh sudah insaf dan merupakan pesalah pertama.
Chew memberitahu mahkamah bahawa kolej itu telah membayar RM172,779.75 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menunjukkan mereka telah insaf dan tidak mahu kerajaan Malaysia mengalami kerugian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadly Mohd Zamri dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes seperti itu berleluasa dan untuk mengambil kira kepentingan awam.
Dia berhujah sejak Januari hingga Oktober tahun ini, pihak pendakwaan telah membawa ke mahkamah sebanyak 54 kes membabitkan dokumen palsu terhadap Perkeso di negara ini.
Mohamad berkata ini menyebabkan Perkeso mengalami kerugian sehingga jutaan ringgit.
Mahkamah mendengar bahawa Chin yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Pendaftar kolej itu sejak 2019, telah mengarahkan Choong (pengawal kewangan) untuk memohon insentif bagi 13 pekerja.
Choong kemudiannya memuat naik kesemua 13 butiran pekerja termasuk nama, jawatan dan gaji ke laman web Penjana Kerjaya.
Bagaimanapun, berdasarkan siasatan, salah seorang penama bukan kakitangan kolej berkenaan dan tidak layak menerima dana insentif berkenaan.
Penjana diperkenalkan oleh kerajaan sebagai kaedah membantu mereka yang terjejas akibat krisis Covid-19.
Pelan itu, di bawah Kementerian Sumber Manusia, ditadbir oleh Perkeso.
Kedua-duanya membayar denda masing-masing.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
