Dua cedera, 21 rumah musnah di Sandakan

24 Apr 2025 • 5:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Sebanyak 21 rumah dan sebuah unit stor musnah dalam satu kebakaran di Kampung Batu Putih Batu 7 di sini, pada pagi Rabu.

Kebakaran tersebut turut mencederakan dua individu iaitu seorang kanak-kanak dan seorang warga emas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 pagi menerusi MERS999.

Ketua Zon Bomba Sandakan, Jasri Ab. Jal berkata, kebakaran itu melibatkan rumah-rumah kayu yang dibina rapat antara satu sama lain, sekali gus memudahkan api merebak.

“Pasukan kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.41 pagi. Secara keseluruhan, 21 rumah dan sebuah unit stor kecil musnah.

“Kami berjaya menyelamatkan 50 buah rumah lain yang didirikan berdekatan serta tiga buah bot,” katanya.

Kebakaran tersebut melibatkan kawasan seluas kira-kira tiga ekar, dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.

Jasri menambah, sumber air diperoleh daripada jentera bomba, pili bomba berdekatan, malah dari laut menggunakan tiga saluran hos.

Pihak polis mengesahkan dua mangsa cedera diberi rawatan segera di dalam ambulans di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak dan seorang warga emas. Kedua-duanya mengalami luka melecur ringan,” kata Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Daerah Sandakan, DSP Sham Osman.

Operasi ini turut melibatkan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela), Sabah Electricity (SE) serta agensi berkaitan lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson mengisytiharkan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Batu Putih, pada petang Rabu, untuk mangsa kebakaran tersebut.