Dua Darjat! Lee Tuck Dapat Kerakyatan, Rakyat Lahir Luar Negara Dianaktirikan

2 Sep 2022 • 8:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lee Tuck - Gambar dari Twitter Sri Pahang FC

KUALA LUMPUR - Kegembiraan dikongsi pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck di Instagram mengenai penantiannya untuk bergelar warganegara Malaysia yang ‘termakbul’ pada 31 Ogos lalu, mengundang reaksi kurang senang di kalangan warganet.

Majoriti meluahkan kekecewaan mereka terhadap sikap double standard kerajaan apabila dilihat begitu mudah meluluskan permohonan pemain bola sepak import untuk mendapat kerakyatan Malaysia.

Namun berbeza pula dengan nasib anak wanita yang lahir di luar negara bagai dianaktirikan di negara sendiri apabila mahkamah memutuskan mereka tidak berhak mendapat kerakyatan secara automatik.

“Ini tidak adil. Yang sarapan pagi nasi lemak, roti canai tak dapat hak kerakyatan. Aduhai,” kata Alya.

“Kawan saya menunggu 21 tahun untuk mendapat kerakyatan Malaysia. Terpaksa menjadi penduduk tetap (PR) selama dua dekad sejak dilahirkan,” kata Mars.

“Tidak ada rasa hormat pada wanita. Dua darjat sentiasa wujud. Ia ada dalam fikiran dan hati,” kata Michael Loh.

“Syoklah macam tu. Minta kerajaan kaji semula undang-undang sedia ada,” kata Alongsur.

Perkara itu turut mendapat perhatian, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dalam nada sinis mempersoalkan sama ada kanak-kanak tanpa kerakyatan perlu menjadi pemain bola sepak profesional untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia.

“Mestikah anak-anak tidak bernegara ini bermain bola sepak dahulu sebelum pihak berkuasa prihatin dengan nasib mereka?

“Inilah sebabnya dari awal saya memperjuangkan penubuhan kementerian untuk kanak-kanak kerana kita mampu (belanja) berbilion untuk kepentingan lelaki, tetapi kedekut untuk melindungi kanak-kanak,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto turut mendesak kerajaan supaya melakukan perkara sama kepada kanak-kanak yang masih berjuang mendapat hak kerakyatan mereka.

“Lihat ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Lihat ini Datuk Seri Hamzah Zainudin? Lihat ini Jabatan Pendaftaran Negara?

“Seorang pemain bola sepak warga British bermain di Malaysia sejak 2017. Hari ini (31 Ogos) dia menjadi rakyat Malaysia.

“Bagaimana anak wanita warganegara Malaysia yang lahir di luar negara? Sekarang lakukan perkara sama untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz turut kecewa dengan keputusan tersebut.

Menurut beliau, seorang pemain import bukan dilahirkan ibu bapa warga Malaysia dan hanya berada di negara ini selama lima tahun tetapi diberikan hak kerakyatan dengan mudah.

Katanya, bagaimanapun ribuan kanak-kanak yang lahir diluar negara masih dinafikan hak mereka.

Sebelum ini, beberapa pemain bola sepak lain seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula turut mendapat kerakyatan Malaysia melalui proses sama. - Getaran, 2 September 2022