Dua ditahan, bahan api dirampas

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 4:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Dua lelaki ditahan dengan diesel dan petrol bernilai RM1,025.75 dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu, di sini, pada Ahad.

Operasi dikenali sebagai Op Taring Bravo 1 itu dijalankan kira-kira 2.40 petang di sebuah stesen minyak di KM3 Jalan Semporna.

Operasi bersepadu itu diketuai cawangan risikan dan pasukan tindakan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna.

Bertindak atas risikan, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Hilux berwarna hitam yang diparkir di stesen berkenaan. Hasil pemeriksaan menemui 13 gelen berisi diesel, empat gelen berisi petrol serta satu gelen kosong tanpa sebarang dokumen atau permit jual sah.

Semua bahan api dan kenderaan tersebut dirampas manakala dua individu yang berada dalam kenderaan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli diesel dan petrol melebihi had yang dibenarkan serta tanpa permit sah.

“Mereka juga menyatakan bahan api itu bertujuan dihantar ke sebuah resort yang terletak di perairan Semporna,” kata PGA Kunak dalam kenyataan, Isnin.

Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM131,025.75, termasuk bahan api bernilai RM1,025.75 dan kenderaan bernilai sekitar RM130,000.

Kes diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

PGA Kunak menegaskan operasi itu mencerminkan kerjasama berterusan antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut.