
KUALA PILAH – Dua individu dipercayai terbabit dalam video yang mempersenda Rukun Negara yang kembali tular sejak minggu lalu dikenal pasti pihak berkuasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, beberapa aspek siasatan masih dijalankan termasuk usaha mengesan pihak lain yang mungkin berkaitan dengan penyebaran semula video tersebut.
“Setakat semalam, MCMC memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (PDRM) dan ada beberapa aspek siasatan yang sedang berjalan termasuk usaha untuk mengesan.
“Saya difahamkan dua orang individu telah berjaya dikenal pasti yang terlibat dalam video tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, di sini hari ini.
Fahmi berkata, video berkenaan bukan kandungan baharu kerana ia dipercayai dirakam kira-kira lapan tahun lalu sebelum dimainkan semula dan menjadi tular dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.
“Video itu daripada lapan tahun yang lalu tetapi dimainkan semula menjadi viral semula dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.
“Pihak MCMC dan PDRM akan mengeluarkan apa-apa kenyataan dari semasa ke semasa tentang status siasatan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, sebuah video pementasan mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular sejak semalam.
Orang ramai mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas ke atas pelaku susulan video yang mengundang kemarahan banyak pihak itu.- KOSMO! ONLINE
The post Dua individu telah dikenal pasti terbabit video Rukun Negara appeared first on Kosmo Online.






