Dua interpretasi Mila Mohsin dan Aisha Retno bawa sisi berbeza Gusti Puteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang

Entertainment
31 Oct 2026 • 11:32 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Dua interpretasi Mila Mohsin dan Aisha Retno bawa sisi berbeza Gusti Puteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang

KISAH cinta Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah mungkin sudah biasa didengar, tetapi bagaimana pula apabila legenda itu dihidupkan semula di pentas teater dengan dua pelakon berbeza? Itulah antara kelainan PGL The Musical 2026 yang menampilkan Mila Mohsin dan Aisha Retno sebagai Gusti Puteri.

Pementasan arahan Puan Sri Tiara Jacquelina dan terbitan Enfiniti itu berlangsung di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Bandar Sunway, bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.

SinarPlus antara kira-kira 80 pengamal media, rakan terdekat dan kru belakang tabir yang berpeluang menyaksikan sesi latihan penuh (full dress rehearsal) pada Jumaat malam.

Sepanjang hampir tiga jam, kisah legenda Melayu itu dipersembahkan menerusi gabungan lakonan, nyanyian dan tarian, disokong kostum serta visual yang membawa penonton menyelami suasana zaman silam.

Menariknya, pementasan kali ini memberikan ruang kepada dua pelakon untuk menghidupkan watak Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah, selain menampilkan dua versi watak Bayan.

Aisha memperlihatkan sisi Gusti Puteri yang lebih bersahaja, dengan kekuatan vokal, penghayatan dan karisma tersendiri ketika berada di atas pentas. Pembawaannya turut memberikan warna kepada hubungan watak tersebut dengan Hang Tuah.

Mila pula menampilkan sisi berbeza menerusi lakonan yang anggun dan mempesona, disulami permainan emosi yang menjadikan perjalanan wataknya lebih mendalam.

Meskipun berkongsi watak sama, kedua-duanya mempunyai pendekatan tersendiri. Perbezaan interpretasi itu memberikan perspektif berbeza kepada penonton dalam mengenali karakter puteri yang menjadi tunjang legenda berkenaan.

Selain kisah cinta dan pengorbanan, pementasan itu turut mengangkat persoalan kesetiaan serta tujuh syarat ikonik yang menjadi sebahagian daripada legenda Puteri Gunung Ledang.

Image from: Dua interpretasi Mila Mohsin dan Aisha Retno bawa sisi berbeza Gusti Puteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang

Tiada yang sempurna

Di sebalik pementasan kali ini, Tiara juga mempunyai hubungan tersendiri dengan karya berkenaan. Selepas pernah menggalas watak Gusti Puteri dalam produksi terdahulu, beliau kini kembali dengan tanggungjawab berbeza sebagai pengarah.

Menurut Tiara, keputusan membawa semula PGL The Musical bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara perlu dibina semula dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi serta kemampuan pentas masa kini.

Beliau turut mengakui dorongan Pengarah Persembahan Artistik JCPAC merangkap Penerbit Eksekutif PGL The Musical 2026, Melissa Teoh menjadi antara faktor yang mendorongnya menerima cabaran tersebut.

"Ini sebuah perjalanan panjang yang mengambil masa 18 tahun untuk direalisasikan kerana pementasan terakhir PGL adalah pada 2009.

"Apabila saya mengatakan 'yes' kepada Melissa, sudah tentu ia bukan kerja yang senang kerana Enfiniti perlu cipta semula banyak perkara dan saya rasa sudah cukup untuk saya bawa watak Gusti Puteri.

"Tetapi, kali ini saya nak buat dengan visi saya sebagai pengarah. Dengan perubahan zaman, teknologi baharu dan pentas teater yang canggih maka banyak yang kami boleh buat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan penuh itu.

Mengakui setiap pementasan mempunyai cabarannya sendiri, Tiara berharap segala usaha pasukan produksi dapat diterjemahkan menerusi persembahan yang baik.

"Saya harap semuanya sempurna walaupun tiada apa yang sempurna.

"Apa pun, saya berterima kasih kepada pihak yang tidak putus-putus menjayakan PGL The Musical daripada sesi uji bakat, promosi awal, penjualan tiket sehinggalah hari pementasan," ujarnya.

Selain Mila dan Aisha, pementasan itu turut dibintangi Aqasha, Luqman Hafidz, Yusof Hashim, Nadia Aqilah dan Mimi Fly.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved