Dua jawatankuasa khas kurangkan risiko lewat bina Pan Borneo

LocalPolitics
26 Apr 2025 • 8:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Nora Ahmad

Penubuhan dua jawatankuasa khas bagi mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti akan mengurangkan risiko kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah.

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jawatankuasa khas tersebut antara isu yang dibincangkan bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam lawatan kerja beliau pada Isnin lalu.

“Kita di Sabah telah diwujudkan jawatankuasa khas untuk proses mengambil balik tanah, yang mana antara punca atau cabaran pembinaan LPB adalah kekangan sumber manusia bagi tujuan menilai tanah yang hendak diambil balik.

“Jadi dengan jawatankuasa yang ada, kita telah meminta Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) untuk melakukan pengambilan sumber luar untuk menambah tenaga kerja bagi tujuan kerja penilaian dan pembayaran pampasan.

“Selain itu, satu lagi jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan mengambil alih utiliti yang melibatkan pelbagai agensi seperti Sabah Electricity, jabatan air, syarikat komunikasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas agenda mesyuarat yang diadakan bersama Nanta berhubung perkembangan pembinaan LPB di negeri ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata dengan adanya dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan sejak dua bulan lalu dan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan LPB, ia diharap akan mengurangkan risiko kelewatan pembinaan LPB.

“Kita berharap sebarang risiko yang boleh menyumbang kepada kelewatan akan dapat dikesan lebih awal dan diambil tindakan supaya kelewatan itu dapat kita kawal,” ujarnya.