
Dua Kapal Indonesia Diberi Lampu Hijau Lintasi Selat Hormuz
Sebanyak dua kapal tangki Indonesia yang sebelum ini tersekat di Selat Hormuz mendapat lampu hijau daripada Iran untuk melintasi keluar, lapor CNN Indonesia.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Vahd Nabyl A Mulachela, berkata sejak awal lagi kementerian itu bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Teheran aktif menjalin komunikasi dengan pihak Iran.
“Dalam perkembangannya, telah terdapat tanggapan positif daripada pihak Iran,” kata Nabyl mengenai perkembangan rundingan berkaitan kapal tangki Pertamina di Jakarta.
Menurut Nabyl, Teheran memberikan respons positif, sekali gus membolehkan beberapa pihak meneruskan langkah-langkah operasi bagi kapal tangki berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ditetapkan masa tepat bila kapal-kapal tersebut boleh keluar dari Selat Hormuz.
Pada 4 Mac lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia (ESDM), Bahlil Lahadalia, berkata kerajaan sedang menjalankan rundingan berkaitan dua kapal tangki milik PT Pertamina International Shipping (PIS) yang masih berada di Selat Hormuz.
Namun, Bahlil menegaskan kehadiran dua kapal tangki itu tidak mengancam ketahanan tenaga Indonesia, kerana kerajaan telah mencari alternatif bekalan tenaga dari negara lain.
Semalam, Bahlil berkata bukan mudah untuk mengeluarkan kapal tersebut dari Selat Hormuz memandangkan situasi yang masih tidak menentu di Timur Tengah.

Menurutnya, kerajaan terus mengekalkan komunikasi secara intensif supaya kapal tangki Pertamina itu dapat segera keluar dari selat terbabit.
Ketua Pengarah Asia Pasifik dan Afrika Kementerian Luar Indonesia, Santo Darmosumarto, menyatakan kerajaan terus memperkukuh komunikasi dengan Iran bagi memastikan keselamatan kapal-kapal tersebut.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri Iran, Abbas Araghchi, menegaskan negaranya membenarkan kapal dari 'negara sahabat' melintasi Selat Hormuz.
Baca juga:
Iran Benar 10 Kapal Lalui Selat Hormuz, Trump Sifatkan Sebagai ‘Hadiah’
9 Negara Ini Paling Terkesan Jika Berlaku Gangguan Di Selat Hormuz
Namun begitu, kapal dari Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara yang dianggap sebagai musuh tetap tidak dibenarkan melalui laluan itu.
Beberapa negara sahabat yang diberikan kebenaran termasuk China, Rusia, India, Pakistan, Iraq dan Malaysia.
Berdasarkan data MarineTraffic pada 20 hingga 22 Mac, kira-kira 1,900 kapal dilaporkan tidak dapat bergerak di sekitar Selat Hormuz, menurut laporan Anadolu Agency.

