Dua kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz

8 Nov 2026 • 3:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz

TEHERAN: Dua kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api laut ketika cuba melalui laluan tidak dibenarkan di Selat Hormuz pada Ahad, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

IRGC dalam satu kenyataan berkata, sebuah kapal terbabit berada di bahagian timur selat itu, manakala sebuah lagi berada di dalam laluan perairan berkenaan.

Kedua-dua kapal dilaporkan mengalami kebakaran besar selepas terkena periuk api laut ketika cuba melintasi laluan yang tidak dibenarkan pihak berkuasa Iran.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kapal berkenaan didakwa melanggar beberapa peraturan, termasuk mematikan sistem navigasi dan pengesanan kedudukan ketika melalui laluan berkenaan.

Sejak perang Iran tercetus pada akhir Februari lalu, Teheran mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz dan mengarahkan semua kapal menggunakan laluan yang diluluskan oleh Republik Islam itu.

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran selain membantu kapal tangki minyak melalui selat berkenaan.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik yang lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak dunia.

IRGC tidak mendedahkan nama atau kewarganegaraan kedua-dua kapal tangki minyak berkenaan. Teheran sejak beberapa minggu kebelakangan ini beberapa kali mengumumkan kejadian kapal terbakar di Selat Hormuz.

Bulan lalu, Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata, pihaknya membantu negara-negara Teluk mengeksport 1.5 bilion tong minyak melalui Selat Hormuz sejak musim panas, selain memaklumkan semua periuk api di laluan perairan itu sudah dibersihkan.

Dalam perkembangan berasingan, IRNA melaporkan pada lewat Sabtu bunyi letupan kedengaran di beberapa kawasan di Iran.

“Bunyi menyerupai letupan kedengaran di Qeshm, Sirik, Jask dan Bandar Abbas. Punca bunyi itu masih belum diketahui,” menurut laporan agensi berita itu menerusi Telegram.

IRNA turut melaporkan pihak berkuasa mengesahkan berlaku satu insiden ‘hentaman’ di bandar pelabuhan Jask.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini membayangkan kemungkinan menyambung semula serangan besar-besaran terhadap Iran, namun kemudian menarik balik kenyataan itu.

Bagaimanapun, tentera AS masih melancarkan serangan berskala kecil secara berkala.- AFP

The post Dua kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved