
Tidak mencapai tahap standard kebersihan KKM
Dua Kilang Pemprosesan Makanan Di Bintulu Diarah Tutup Gara-Gara Terlalu Kotor. Dua premis makanan di Bintulu, diarah untuk tutup selepas tidak mencapai tahap kebersihan sebagaimana yang ditetapkan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, keputusan itu dibuat menerusi operasi rutin pemeriksaan kilang produk makanan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan dan pasukan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sekitar bandar Bintulu pada 16 hingga 30 Ogos lalu.

Telah pun diarahkan tutup serta-merta buat sementara waktu
“Sepanjang operasi itu, sebanyak sembilan buah premis kilang makanan telah diperiksa dan pada masa sama sembilan notis kompaun berjumlah RM12,900 dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Berdasarkan laporan dari Suara Sarawak, beliau menyeru pemilik dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Semua pengusaha premis pemprosesan makanan telah dilatih amalan pengendalian makanan yang baik melalui Latihan Pengendali Makanan (LPM) yang menjadi syarat utama sebelum kilang dibenarkan beroperasi.

“Pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu merasa kesal kerana pengusaha premis tidak mempraktikkan semua amalan yang standard sebagaimana yang telah disyaratkan,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung keselamatan makanan boleh dirujuk pada Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di talian 086-858200.
