Dua lagi syarikat tempatan, Oppstar dan Alphaswift ditawarkan akses teknologi pengkomputeran Arm

LocalTechnology
21 Aug 2026 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dua lagi syarikat tempatan, Oppstar dan Alphaswift ditawarkan akses teknologi pengkomputeran Arm Image from: Dua lagi syarikat tempatan, Oppstar dan Alphaswift ditawarkan akses teknologi pengkomputeran Arm amree21/08/2026 - 11:01 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Keupayaan Malaysia dalam reka bentuk cip bernilai tinggi bakal diperkukuh apabila dua syarikat tempatan, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd, menerima akses kepada teknologi pengkomputeran Arm, sekali gus membuka ruang mempercepat pembangunan produk semikonduktor dan mikroelektronik termaju tempatan.

 

Kementerian Ekonomi berkata, kedua-dua syarikat itu menerima surat tawaran bagi memperoleh akses kepada Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA) menerusi kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Arm Limited.

 

Menurut kementerian, akses tersebut membolehkan syarikat tempatan mempercepat aktiviti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia, termasuk dalam bidang dron dan mikroelektronik termaju.

 

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, setakat ini sebanyak lapan akses teknologi Arm membabitkan empat Arm CSS dan empat token AFA sudah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan.

 

Beliau berkata perkembangan itu penting bagi memastikan akses kepada teknologi global menjadi pemangkin kepada lebih banyak reka bentuk cip, pembangunan harta intelek (IP) serta produk bernilai tinggi yang boleh dibangunkan di Malaysia untuk pasaran global.

 

“Ini adalah asas untuk melahirkan syarikat dan jurutera tempatan yang mampu membawa produk cip tempatan ke pasaran global,” katanya dalam kenyataan Kementerian Ekonomi.

 

Arm_DagangNews2026

 

Kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat semikonduktor apabila sebanyak 1,530 peserta telah mengikuti program Arm OnDemand Training, daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.

 

Bagi memperkukuh saluran bakat, persetujuan bersama dengan 12 universiti telah dicapai dengan sokongan kementerian, agensi dan pihak industri bagi melaksanakan program Arm OnDemand Training secara lebih tersusun.

 

Akmal Nasrullah berkata, sinergi antara universiti dan industri penting bagi memastikan latihan yang disediakan benar-benar sepadan dengan keperluan syarikat, termasuk penyelarasan kalendar akademik, pengintegrasian modul Arm dalam pembelajaran serta pengiktirafannya sebagai sebahagian daripada latihan industri.

 

"Malaysia perlu beralih daripada sekadar menangani kekurangan tenaga mahir kepada membina saluran bakat yang tersusun supaya tenaga kerja berkemahiran dapat dibangunkan lebih awal sebelum permintaan industri menjadi kritikal," katanya.

 

Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) jelasnya, akan bekerjasama memastikan sasaran itu dapat dicapai.

 

Usaha berkenaan selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mengalihkan kekuatan Malaysia daripada aktiviti pemasangan, pempakejan dan pengujian cip kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk cip, R&D serta pembangunan teknologi dan harta intelek 'Made by Malaysia'. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved