
SEBERANG PERAI – Kegiatan sindiket menawarkan pemalsuan pas elektronik (ePASS) kepada warga asing dengan bayaran serendah RM50 terbongkar selepas dua lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat, di sini, malam tadi.
Pengarah Imigresen negeri, Syamsul Fitry Ahmad berkata, dua suspek yang ditahan dalam operasi pada pukul 10 malam itu berusia 23 dan 32 tahun.
Selain tangkapan, pihak imigresen merampas lebih 50 keping cetakan ePASS dipercayai telah diubah suai, komputer riba, mesin pencetak, dua buah telefon bimbit, dua buah motosikal dan sebuah kereta.
“Beberapa salinan pasport warga asing serta sejumlah besar cetakan ePASS palsu yang sedia untuk diedarkan ditemukan dalam operasi tersebut.
“Suspek dipercayai menyasarkan warga asing, khususnya pekerja dalam sektor pembinaan.,” katanya dalam sidang akhbar di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata, cetakan ePASS palsu itu hampir menyerupai dokumen tulen dan sukar dikenal pasti menerusi pemeriksaan fizikal biasa. Bagaimanapun, ia boleh dikesan melalui semakan kod QR dan pengesahan silang dalam sistem jabatan.
“Kedua-dua suspek dipercayai menyewa rumah daripada warga tempatan. Mereka ditahan selama 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 56 dan 52D Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki Bangladesh tawar khidmat cetak ePASS palsu serendah RM50 appeared first on Kosmo Online.





