Dua lelaki didenda RM10,000 seludup diesel

LocalPolitics
13 May 2025 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad Aiman (tiga dari kiri) dan Mohd Amiruddin (dua dari kanan) dikawal anggota KPDN selepas didenda. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah membawa diesel bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand tahun lalu.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Aiman Mohd Din, 31, dan Mohd Amiruddin Ramly, 34, selepas mereka mengaku bersalah dalam pertuduhan berasingan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Aiman didapati memiliki 832.525 liter diesel di hadapan Pejabat Cawangan Pembangunan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada jam 12.45 tengah hari, 6 September 2023.

Mohd Amiruddin pula didapati memiliki 780.535 liter minyak diesel di tepi jalan Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh, pada jam 2.55 petang, 26 Julai 2023.

Kedua-dua kesalahan dilakukan tanpa lesen sah yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketika rayuan, Mohamad Aiman yang bekerja sebagai pemandu lori memohon hukuman diringankan atas alasan menanggung keluarga dan berpendapatan tidak menentu.

“Saya janji tidak ulangi kesalahan. Saya menyesal dan mohon hukuman ringan,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan Muhammadi Iman Masjuri memohon hukuman berat atas alasan kesalahan itu kerana memberi kesan buruk kepada negara.

“Kesalahan seperti ini menyebabkan kerajaan menaikkan harga minyak dan rakyat yang akhirnya menanggung akibat.

“Barang kes ini ialah minyak diesel bersubsidi yang diseleweng,” katanya.

Hakim dalam keputusannya menegaskan bahawa kesalahan itu amat serius kerana menyebabkan kerugian besar dan membahayakan keselamatan.

“Ini bukan kes tak ada lesen motor. Negara rugi berbilion ringgit kerana orang seperti kamu. Rakyat bayar cukai, kamu seleweng.

“Saya tengok tong-tong yang dibawa dalam kereta pun menakutkan, boleh meletup bila-bila masa,” ujar Hakim sebelum menjatuhkan hukuman.

Mohamad Aiman dan Mohd Amiruddin masing-masing didenda RM10,000 atau penjara dua serta tiga bulan jika gagal membayar denda, mereka bagaimanapun menjelaskan denda.

Mahkamah turut memerintahkan semua barang kawalan dan kenderaan digunakan dilucuthak kepada pihak berkuasa.

Rakyat bayar cukai, kamu seleweng - Haklim jatuhi hukuman denda RM10,000 dua lelaki