
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penemuan 1.16 tan dadah jenis ketamin di atas kapal tangki MT Global 168, Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-duanya yang berusia 40-an kini direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata seorang daripada lelaki itu ialah pengarah syarikat Makmur Marine Petroleum Sdn Bhd iaitu pemilik asal kapal tersebut, manakala seorang lagi ialah ejen atau broker penjualan kapal itu.
“Siasatan awal mendapati kapal itu dibeli pada April lepas untuk tujuan penjualan semula selepas dibaik pulih bagi mendapatkan keuntungan.
“Pada 28 Jun, kapal MT Global 168 dijual kepada Golden Dolphin Co Ltd yang beralamat di Yangon, Myanmar melalui ejen terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hussein berkata polis turut mengenal pasti tiga individu lain dipercayai masing-masing warga Singapura, Taiwan dan Myanmar bagi membantu siasatan.
“JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia serta agensi penguatkuasaan berkaitan khususnya dalam perkongsian maklumat risikan, pengesanan individu terlibat dan pelaksanaan tindakan susulan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya menerusi talian Hotline JSJN 012-2087222.
Sebelum ini, media melaporkan kapal tangki MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama-sama 1.16 tan ketamin pada 20 Okt, disahkan milik sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor.






