Dua lelaki ditahan hina institusi Diraja Johor, Sultan Selangor

31 Aug 2023 • 8:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
- Gambar hiasan

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan secara berasingan kerana membuat naik hantaran yang cenderung menghasut.

Beliau berkata, hasutan itu dilihat mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

"Suspek pertama yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook 'Flat Earth Malaysia' berusia 41 tahun telah ditangkap di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak ekoran hantaran yang berbaur penghinaan terhadap institusi Diraja Johor.

"Sementara suspek kedua dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook 'Iman Mustaqim' yang berumur 47 tahun ditangkap di Langkap, Perak kerana disyaki memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, permohonan reman selama tiga hari ke atas kedua-dua suspek telah dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 31 Ogos hingga 2 September ini.

Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman berdasarkan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

"Selain itu berusaha mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutama melibatkan isu agama, raja dan bangsa (3R)," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved