Dua lelaki ditahan, kilang proses kayu balak haram diserbu

LocalEnvironment
30 Apr 2026 • 10:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki ditahan, kilang proses kayu balak haram diserbu
Sebuah kilang proses kayu balak haram diserbu pada Rabu lalu.
Image from: Dua lelaki ditahan, kilang proses kayu balak haram diserbu
Pihak berkuasa turut merampas pelbagai mesin memotong dan memproses kayu, sejumlah kayu balak dalam serbuan berkenaan.

BUTTERWORTH - Kegiatan sebuah kilang memproses kayu balak tanpa kelulusan terbongkar apabila dua lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu pada Rabu.

Operasi dikenali sebagai Op Sawmill itu dijalankan kira-kira jam 7 pagi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pulau Pinang di sebuah premis di daerah Seberang Perai Utara.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner M Balveer Singh berkata, kedua-dua suspek berusia antara 38 hingga 55 tahun dipercayai pekerja di premis berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut beroperasi sebagai lokasi pengumpulan dan pemprosesan kayu balak tanpa sebarang permit sah daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang.

“Semakan lanjut turut mendapati lesen kilang papan, papan lapis, venir dan papan blok milik premis itu telah tamat tempoh sejak 31 Disember 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

**media[3507498]**

Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas pelbagai mesin memotong dan memproses kayu, sejumlah kayu balak serta sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut bahan tersebut.

"Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan.

“Usaha risikan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tersebut diminta menyalurkannya kepada Briged Utara PGA bagi membantu tindakan lanjut," katanya lagi.