Dua lelaki ditahan simpan barang milik polis, dadah

LocalPolitics
25 Jan 2026 • 9:39 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki menyimpan barangan milik polis secara haram semasa rondaan bit di hadapan sebuah bank di kawasan Fajar Bandar Tawau di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek pertama seorang penganggur berumur 32 tahun berasal dari Felda Sahabat, Lahad Datu, sementara suspek kedua pula pemandu lori, 43, dari Felda Umas.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan mereka membawa kepada penemuan satu ves pantulan cahaya warna hijau yang tertera ejaan PDRM dan satu topi loreng berlambang POLIS,” katanya di sini, pada Sabtu.

Jasmin berkata pasukannya juga menemui beg pinggang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu, seberat kira-kira 0.10 gram.

Hasil semakan latar belakang kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek dan barangan rampasan ditahan untuk tujuan pencegahan jenayah dan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti motif pemilikan peralatan polis berkaitan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967, merujuk kepada seseorang yang bukan pegawai polis namun memiliki barang-barang yang dikeluarkan khusus untuk kegunaan pegawai polis.

Kes berkaitan rampasan syabu pula disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki methamphetamine (syabu).