
IPOH - Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam parit berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dekat sini pada Sabtu.
Kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 5.19 pagi.
Katanya, kereta jenis Honda Accord dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.
"Anggota mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu.
"Kedua-duanya telah disahkan maut oleh pegawai perubatan yang hadir," katanya.
Seorang daripada mangsa dikenali sebagai R Dhaarnish, 29, manakala seorang lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.44 pagi.
