Dua lelaki maut, seorang cedera nahas dua lori hala Cameron Highlands

16 Sep 2026 • 11:06 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua lelaki maut, seorang cedera nahas dua lori hala Cameron Highlands

IPOH – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pihaknya pada pukul 8.36 malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berusia 42 tahun tersepit di dalamnya dan sebuah lori membawa muatan sayur di mana terdapat dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 35 tahun.

“Kedua-dua lelaki yang menaiki lori muatan sayur itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik sebelum mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital.

Katanya, mayat dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di atas permukaan jalan menggunakan satu aliran salur bantu mula serta habuk kayu.

“Operasi dikawal pada pukul 11 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.15 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Dua lelaki maut, seorang cedera nahas dua lori hala Cameron Highlands appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved