
INDONESIA – Niat mahu mencari harta karun bertukar tragedi apabila dua lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah dan konkrit dalam satu kejadian di Kecamatan Antapani, Rabu lalu.
Menurut laporan Detik Jabar, insiden berlaku ketika seorang mangsa, MHN, 25, baru sahaja selesai menggali lubang sedalam kira-kira dua meter yang pada asalnya disediakan untuk pembinaan kolam renang.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila dua lagi individu, RY, 40, dan FH, 47, tiba di lokasi dengan tujuan melakukan ritual tertentu kerana dipercayai terdapat harta karun di kawasan berkenaan.
Ketua Dinas Pemadam Kebakaran dan Penyelamatan Kota Bandung, Soni Bakhtiyar berkata, kedua-dua lelaki itu turun ke dasar lubang bagi menjalankan ritual atas permintaan keluarga.
“Berdasarkan maklumat di lokasi, mereka masuk ke dalam lubang untuk melakukan ritual tertentu,” katanya.
Runtuhan konkrit hempap mangsa
Tidak lama selepas itu, berlaku kegagalan struktur pada bahagian sisi galian apabila lantai bangunan lama berhampiran runtuh secara tiba-tiba.
Difahamkan, dinding bekas tapak mesin pengisar padi tidak stabil selepas tanah di bawahnya digali, menyebabkan bongkah konkrit besar jatuh terus ke dalam lubang.
Runtuhan tersebut menimpa MHN dan RY, manakala FH turut terkena bahagian runtuhan namun sempat menyelamatkan diri.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan berhati-hati berikutan kedudukan konkrit yang masih tidak stabil dan berisiko mengundang runtuhan susulan. Operasi itu mengambil masa hampir tiga jam sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
Polis siasat unsur jenayah, wanita beri ‘bimbingan’ akan dipanggil
Ketua Polis Sektor Antapani, Kompol Yusuf Tojiri mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mangsa sememangnya dipercayai menjalankan aktiviti pencarian harta karun.
Menurutnya, kira-kira sebulan lalu, mangsa menerima bimbingan daripada seorang wanita berinisial FH bagi melakukan ritual tertentu serta diminta menggali beberapa titik berhampiran kawasan penggilingan padi.
Polis kini akan memanggil wanita terbabit untuk dirakam keterangan.
Siasatan lanjut turut dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau kecuaian yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan kerja penggalian atau aktiviti berisiko tanpa penilaian keselamatan, kerana struktur tanah yang tidak stabil boleh mengundang bahaya pada bila-bila masa. – The Malaysian Update
The post Dua Lelaki Maut Tertimbus Ketika ‘Ritual’ Cari Harta Karun Di Bandung appeared first on The Malaysian Update.




