Dua Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Di Alor Setar

LocalCars
18 Dec 2024 • 11:55 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Dua Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Di Alor Setar

ALOR SETAR, 18 Dis (Bernama) — Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Lencong Barat, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata Balai Polis Trafik Alor Setar menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada kira-kira pukul 9.10 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki lima lelaki berusia 18 tahun dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran kereta Mercedes Benz itu telah berpusing beberapa kali sejauh kira-kira 35 meter, mengakibatkan pemandu dan penumpang belakang maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Nor Salawati berkata pemandu kereta Hyundai Matrix, lelaki berumur 74 tahun, turut tercedera dalam kejadian itu dan telah dihantar ke hospital swasta untuk rawatan, manakala mangsa yang lain dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi dengan menelefon 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber: BERNAMA