Dua maut keracunan: JAIS arah henti perkhidmatan bekalan makanan

11 Jun 2024 • 2:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Shahzihan

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan pada program Amal Islami di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Cincin, Gombak sehingga mengakibatkan dua mangsa maut.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Bahagian Pendidikan Islam JAIS.

"Kita telah mengarahkan untuk menghentikan perkhidmatan (bekalan makanan) sehingga punca sebenar 33 orang guru mengalami sakit perut dan (menyebabkan) kematian dua individu terbabit diperoleh oleh JAIS," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau memberitahu, laporan mengenai kejadian keracunan makanan itu telah diterima beliau pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini, JAIS masih menunggu laporan berhubung kes kematian berkenaan.

Jelas beliau, program Amal Islami itu diadakan di SRA Sungai Cincin Gombak yang menjadi tuan rumah pada tahun ini.

"JAIS amat berdukacita atas apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," tambahnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan pelajar Tingkatan Lima maut dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah di Gombak pada Isnin.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia dua hari selepas dipercayai makan bihun dan telur goreng tercemar itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!