Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah cederakan pembantu rumah

22 Jun 2026 • 6:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah cederakan pembantu rumah
Muhamad Firdaus (dua dari kanan) dan Muhamad Hirzihaziq (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia mereka Disember tahun lalu. Foto Bernama
Image from: Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah cederakan pembantu rumah
Nurafiqah Nabila (kiri) dan Nurfarah Ainna (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia mereka Disember tahun lalu. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Isnin, atas beberapa pertuduhan termasuk mencederakan tiga pembantu rumah warga Indonesia mereka pada Disember tahun lepas.

Keempat-empat tertuduh itu ialah Muhamad Firdaus Sha'aban dan isteri, Nurafiqah Nabila Hazhar, masing-masing berusia 33 tahun, serta Muhamad Hirzihaziq Abulae's, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pembantu rumah terbabit, Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah dekat Jalan Ledang, Tampoi di sini, kira-kira 8.30 malam, 22 Disember 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau dengan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret A Shaarmini pula, Muhamad Firdaus dan Nurafiqah Nabila mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama mendatangkan kecederaan terhadap seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia, Yatina Yusnita.

Pasangan suami isteri itu juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tan Chiew King atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi pembantu rumah warga asing, Siti Hajar.

**media[3559278]**

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Delima 2/6, Taman Daya di sini, antara jam 2 petang hingga 4 petang, 11 Jun lepas.

Sementara itu, di hadapan Shaarmini, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna mengaku tidak bersalah atas tuduhan masing-masing menakut-nakutkan Yatina dan Siti Hajar dengan ugutan hendak mencederakan dengan niat menyebabkan kegentaran.

Muhamad Hirzihaziq turut mengaku tidak bersalah di hadapan Tan atas perbuatan sama terhadap Siti Hajar, manakala Nurfarah Ainna juga mengaku tidak bersalah di hadapan Atifah Hazimah bagi perbuatan sama terhadap Yatina.

Bagi semua perbuatan yang didakwa dilakukan di Kampung Melayu Majidee, di sini kira-kira jam 2 petang, 12 Jun, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhamad Firdaus menghadapi dua lagi pertuduhan di hadapan Atifah Hazimah dan Shaarmini kerana memiliki dokumen perjalanan diri, iaitu pasport Indonesia milik Siti Hajar dan Yatina tanpa alasan yang munasabah dan kuasa yang sah.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Pejabat Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini, kira-kira jam 7.30 malam, 13 Jun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dibuat di tiga mahkamah berasingan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala kempat-empat tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar dan Nurainaa Kamilah Zalizan.

Kesemua mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh dengan Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM9,000, manakala Muhamad Firdaus dengan jumlah RM11,500 dan isterinya dibenarkan ikat jamin RM5,500.

Atifah Hazimah dan Tan menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen, manakala kes di hadapan Shaarmini akan disebut semula pada 2 Julai. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved