Dua pelajar maut motosikal bertembung kereta

26 Apr 2025 • 10:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua pelajar lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal mereka terbabit nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Muar-Segamat pada Sabtu.

TANGKAK – Dua pelajar lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Muar-Segamat, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu membabitkan motosikal jenis SM Sport 110E dan sebuah Toyota Camry.

"Mangsa menaiki motosikal dari arah Tangkak dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah Toyota Camry yang datang dari arah Segamat.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Jelas beliau, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai, terutama ibu bapa, diminta supaya tidak membenarkan individu bawah umur menunggang motosikal, sama ada di kawasan perumahan mahupun di jalan utama," katanya.