Dua pelajar UPSI cemerlang di AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025

7 Dec 2025 • 3:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Dua pelajar UPSI cemerlang di AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025
Syahrizal (tengah) dan Nurin (lima dari kanan) bergambar bersama tenaga pengajar serta penyokongnya pada AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 di AEON Mall Shah Alam. Photo credit: UPSI

SHAH ALAM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat kebangsaan apabila dua wakilnya berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan yang menghimpunkan 30 peserta dari pelbagai universiti di seluruh negara itu menyaksikan mahasiswa Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Muhammad Syahrizal Theng Abdullah, dinobatkan sebagai Johan, manakala peserta dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Nurin Dayana Alias, muncul di tempat kelima.

Daripada 14 finalis yang mara ke peringkat akhir, dua peserta UPSI berjaya menampilkan penyampaian bertenaga dan penuh keyakinan sehingga melayakkan mereka meraih tempat dalam kelompok terbaik pertandingan.

Kejayaan itu bertambah manis apabila Syahrizal dan Nurin turut dipilih mewakili Malaysia ke Jepun bagi menyertai peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat nama UPSI dan negara di pentas lebih besar yang menghimpunkan wakil-wakil dari seluruh Asia.

Selain pencapaian peserta, UPSI turut menerima satu lagi pengiktirafan melalui tenaga pengajarnya, Norhana Md Salleh dari Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR) FBK, yang diumumkan sebagai Pembimbing Terbaik pertandingan tersebut.

Image from: Dua pelajar UPSI cemerlang di AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025
14 finalis AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 bergambar kenangan bersama penganjur di AEON Mall Shah Alam. Photo credit: UPSI

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang disifatkan sebagai bukti kemampuan pelajar UPSI bersaing di peringkat global.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan, tetapi turut memiliki penguasaan bahasa asing, keberanian, serta keupayaan berkomunikasi di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pencapaian itu juga selari dengan usaha universiti melahirkan graduan berdaya saing, berwawasan global dan mampu menjadi duta kecil negara.

“Apabila pelajar kita diangkat untuk mewakili Malaysia ke Jepun, ia bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi satu pencapaian yang mengukuhkan jenama UPSI di mata dunia. Mereka membawa nama universiti, dan pada masa sama membawa nama negara.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah yang terlibat dalam proses bimbingan, khususnya penerima Anugerah Pembimbing Terbaik, Norhana Md Salleh.

“Pengiktirafan kepada tenaga pengajar UPSI membuktikan bahawa kejayaan pelajar kita adalah hasil sokongan, kepakaran dan komitmen para pensyarah. Inilah ekosistem kecemerlangan yang sentiasa kami perkukuhkan di UPSI.

“UPSI akan terus menyokong segala usaha yang membangunkan potensi mahasiswa. Saya yakin ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang bakal dicipta,” ujar beliau.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.