Dua pemandu lori maut nahas 7 kenderaan di Gopeng, trafik tidak bergerak

3 Feb 2024 • 10:50 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Dua pemandu lori maut akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Gopeng awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan dan tiga lori.

“Pemandu lori membawa gula pasir serta muatan logam itu, masing-masing tersepit di tempat duduk mereka dan maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sepanjang beberapa kilometer di kedua-dua arah laluan berkenaan.

Malah, berlaku tumpahan gula pasir di atas jalan yang menyaksikan kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan.

PLUS menerusi kenyataannya di X memaklumkan, lorong kedua-dua arah di antara Gopeng dan Simpang Pulai terhalang dengan trafik tidak bergerak, susulan kemalangan itu.

“Awas! Kemalangan Kilometer (km) 288.1 di antara Gopeng – Simpang Pulai. Semua lorong kedua-dua arah terhalang.

“Trafik tidak bergerak. Sila keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah ke Selatan) dan Plaza Tol Gopeng (arah ke Utara). Sila rancang perjalanan anda,” menurutnya. – 3 Februari, 2024