
Kota Kinabalu: Dua penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pelbagai kesalahan termasuk menyimpan barang curi dan mengambil dadah.
Taufiq Karman, 32, dan Falaq Arikan seorang warga Filipina tanpa dokumen, 22, dibawa ke hadapan Pendaftar Mahkamah Rita Kunsoi.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Kedua-duanya didakwa menyimpan sepasang cermin mata, kotaknya dan telefon bimbit yang kesemuanya dicuri milik Ng Sze Eng di dalam sebuah bilik di Celyn City Hotel, di Warisan Square di sini pada 14 Okt.
Mereka juga didakwa menyimpan MyKad curi atas nama Ismail Arshad dan kad ATM milik Ismail di tempat sama pada jam 10.40 pagi hari yang sama.
Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Taufik didakwa memecah masuk sebuah unit di Cyber City Apartment, Jalan Lintas Kepayan pada jam 6 petang 16 Sept dan mencuri barang kemas milik Chor Wei Kang, satu kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Taufik juga didakwa melupuskan telefon bimbit dicuri milik Annie Chong di premis YH Mobile Repair Handphone & Accessories, di bangunan Servay Hypermarket di Penampang New Township, Penampang pada 12 tengah hari 12 Okt, satu kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Falaq juga didakwa atas pertuduhan serupa melupuskan iPad curi milik US Pizza (Sabah) Sdn Bhd di premisnya di Bundusan Penampang pada jam 12.30 tengah hari 21 Sept.
Rita menetapkan sebutan semua kes pada 1 Nov dan melepaskan Taufik dengan ikat jamin RM2,000 bagi setiap kes berserta dua penjamin, manakala Falaq diperintah reman lanjut.
Di mahkamah sama, kedua-dua tertuduh turut didakwa mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.
Taufiq ditawarkan ikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan pada 17 Nov, manakala Falaq diperintah reman sementara menunggu sebutan semula kesnya pada 24 Nov.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
