
KUALA LUMPUR: Dua peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 9,820 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen sah, tiga bulan lepas.
Ng Soo Hua, 45, dan Lum Teck Fong, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.
Mereka didakwa bersama-sama enam individu yang telah dituduh, ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 9,820 kilogram minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.
Kedua-dua lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di sebuah premis tanpa nama di Pusat Perdagangan Sri Pagi, Sungai Choh di sini pada 6 petang, 2 Ogos lepas, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dan Nurul‘Ain Shafie manakala peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid mewakili kedua-dua tertuduh.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. -Bernama
