IPOH - Dua penolong pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM4,000 antara 2020 hingga 2022.
Tertuduh, Wan Muhamad Huzairi Shukri, 42, dan Nor Haslan Nor Zaman, 46, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua penjawat awam itu didakwa secara bersama telah menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM2,000, RM1,500 dan RM500 yang dimasukkan dalam akaun bank milik Wan Muhamad Huzairi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Berhad Cawangan Medan Gopeng dalam daerah Ipoh pada 27 Ogos 2020, 6 Januari 2022 dan 29 Mac 2022.
Wang berkenaan diterima daripada seorang pengurus sebuah syarikat berusia 38 tahun yang mempunyai urusan rasmi berkaitan tugas tertuduh di jabatan berkenana.
Semasa kejadian, Wan Muhamad Huzairi bertugas sebagai Penolong Pengarah (DG10) Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum) di JPN Perak, manakala Nor Haslan adalah Ketua Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum).
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Nanthini menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Peguam Hafiz Norkhan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dalam kadar kemampuan atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dengan pendapatan lingkungan RM6,000 ke RM7,000 serta tidak mempunyai rekod jenayah selain menanggung keluarga termasuk ibu bapa.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap tertuduh untuk semua tiga pertuduhan dan mengarahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM pada hari Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Tarikh 15 April depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

