Dua penunggang Ducati buat aksi 'wheelie' akan didakwa di mahkamah esok

LocalCars
20 May 2026 • 4:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua penunggang Ducati buat aksi 'wheelie' akan didakwa di mahkamah esok
Laporan Sinar Harian pada 16 Mei lalu berhubung aksi ‘wheelie’ yang dilakukan oleh dua penunggang Ducati baru-baru ini di ibu negara. GAMBAR KANAN: Mohd Zamzuri.

KUALA LUMPUR - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang melakukan aksi ‘wheelie’ ketika berkonvoi melalui Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE), akan didakwa di Mahkamah Trafik Jalan Duta di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 36 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Susulan arahan Timbalan Pendakwa Raya, kedua-dua individu itu akan dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta pada jam 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kedua-dua lelaki itu telah ditahan kira-kira jam 6 pagi Sabtu.

Video itu dikesan JSPT Kuala Lumpur selepas tular pada Jumaat.

Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 9 Mei kira-kira jam 11 pagi di Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar menghala ke Putrajaya.

Aksi berbahaya tersebut dipercayai dilakukan dua penunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard 950 berwarna merah dan Ducati Panigale berwarna hitam.

View Original Article