Dua pertuduhan, satu isyarat tegas

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 10:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pejabat Peguam Negara mengarahkan agar individu terlibat didakwa atas dua pertuduhan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa perbuatan menghina agama tidak akan dipandang ringan.

INSIDEN memijak al-Quran baru-baru ini bukan sekadar tindakan melulu seorang individu, sebaliknya satu perbuatan yang mencabar sensitiviti umat Islam serta menguji tahap kematangan masyarakat majmuk negara ini.

Perkembangan terbaharu menyaksikan Pejabat Peguam Negara mengarahkan agar individu terlibat didakwa atas dua pertuduhan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa perbuatan menghina agama tidak akan dipandang ringan.

Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi pegangan dan panduan hidup umat Islam.

Justeru, perbuatan memijaknya bukan isu remeh atau sekadar ‘content’ murahan untuk mencetus sensasi.

Ia menyentuh soal maruah agama dan berpotensi menggugat keharmonian antara kaum jika tidak ditangani secara tegas dan berlandaskan undang-undang.

Keputusan untuk mendakwa dengan dua pertuduhan memperlihatkan keseriusan pihak berkuasa dalam menegakkan keadilan.

Tindakan tersebut wajar dilihat sebagai langkah mempertahankan prinsip keluhuran undang-undang serta memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya mencetus provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Dalam negara berbilang agama seperti Malaysia, garis hormat terhadap kepercayaan orang lain bukan pilihan, tetapi kewajipan bersama.

Dalam konteks perundangan, tindakan tegas ini juga penting sebagai mesej pencegahan. Undang-undang bukan sekadar menghukum selepas kesalahan berlaku, tetapi berfungsi mendidik masyarakat tentang batas kebebasan dan tanggungjawab.

Jika penghinaan terhadap agama dibiarkan tanpa tindakan, ia boleh membuka ruang kepada budaya ekstrem dan sikap tidak menghormati yang semakin berani mencabar norma.

Namun dalam menzahirkan rasa marah dan kecewa, masyarakat perlu mengawal emosi.

Seruan untuk menghukum di luar kerangka undang-undang atau mencetuskan kebencian balas hanya akan memburukkan keadaan.

Kematangan rakyat diukur bukan pada lantangnya suara, tetapi pada kebijaksanaan bertindak.