Dua pesara tidak mengaku salah rasuah berjumlah lebih RM6, 000

LocalPolitics
26 Sep 2025 • 2:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Dua pesara kerajaan  Jabatan Pertanian Kunak di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Khamis berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan kerja pembersihan dan penanaman kelapa tacunan serta nangka madu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM6,000.

Bagaimanapun Abdul Jaya Geddek, 61, dan Utok Hamsaleh, 63, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes dan menawarkan wang jaminan RM10,000  dengan deposit RM1,000 setiap seorang serta membenarkan permohonan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Syarat tambahan itu termasuklah melapor diri dua bulan sekali kepada SPRM, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tidak mendekati mana-mana saksi pendakwaan pada sebelum dan semasa perbicaraan.

Dalam pertuduhan pertama kedua-dua mereka sebagai Pembantu Pertanian Gred G22 dan Pembantu Operasi Gred N14 didakwa dengan niat bersama menggunakan dokumen iaitu pesanan kerajaan bagi kerja-kerja tersebut dan borang tuntutan pembayaran yang mengandungi penyataan palsu sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Pesanan kerajaan No AB 820617 itu berkaitan pembayaran bagi kos pembersihan kawasan dan menanam program pembangunan tanaman kekal (kepala tacunan) daerah Kunak 2021 bernilai RM2, 500 bertarikh 6 Julai 2021.

Borang tuntutan pembayaran itu pula adalah atas pemohon bernama Kadir Lamara yang bernilai RM2, 500 bertarikh 6 Julai 2021.

Bagi pertuduhan kedua mereka didakwa menggunakan dokumen pesanan kerajaan No AB 820615 bagi tujuan sama bernilai RM2,500 dan borang tuntutan pembayaran RM2,500 atas nama Chin Chee Hen.

Manakala dalam pertuduhan ketiga kedua-duanya didakwa menggunakan dokumen pesanan kerajaan No AB 820605 bagi kos pembersihan kawasan dan menanam projek tanaman buah-buahan (nangka madu J33) bagi daerah Kunak bernilai RM1,250 bertarikh 6 Julai 2021.

Borang tuntutan pembayaran RM1, 250 itu pula atas pemohon Mohd Safari Nilwan yang bertarikh 6 Julai 2021.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan mereka di Pejabat Pertanian Daerah Kunak dalam bulan Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2)(a) dan (b) Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Nur Sabrina Ali tampil mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mark Rosaidey Mohd Amin.