
Kota Kinabalu: Dua lelaki warga Filipina, yang direman sehingga hujung bulan ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, masing-masing dipenjara empat bulan selepas didapati bersalah memasuki Sabah secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh berusia 39 dan 21 tahun selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan pada Jumaat.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 2.30 petang, 16 Julai lalu, di kawasan lapang Kampung Numbak 2, Manggatal.
Tertuduh berusia 21 tahun pula ditahan tiga hari kemudian, iaitu pada 19 Julai kira-kira jam 3.20 petang di tepi jalan Kampung Numbak, Sepanggar.
Ketika ditahan, kedua-dua pendatang asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Mereka disabitkan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta tidak melebihi enam sebatan.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, mahkamah memerintahkan kedua-duanya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Untuk rekod, lelaki berusia 39 tahun itu sebelum ini direman bersama seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun selepas ditahan susulan penemuan mayat Nurjilya Abdullah, 10, di kawasan semak berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar pada 16 Julai.
Tempoh reman mereka yang bermula pada 17 Julai dilanjutkan sehingga 31 Julai bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Sebelum ini dilaporkan, hasil bedah siasat mendapati Nurjilya meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang dipercayai disebabkan hentakan objek keras dan tumpul.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan difahamkan beberapa individu telah ditahan bagi membantu siasatan.






