
KUALA LUMPUR – Dua rakan kekal dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menipu dua lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah bernilai lebih RM1 juta pada tahun 2021.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 33, dan Mohd Fami Sharin, 51, daripada pertuduhan berkenaan.
“Mahkamah membatalkan rayuan tersebut,” kata hakim itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid berkata, prosiding ditetapkan untuk sebutan kes, namun pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik rayuan terbabit.
Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua lelaki itu selaku responden berkata, pihaknya tidak membantah perkara berkenaan.
Pada 6 Februari tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mereka didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob dan Saleh Nabil Salah Mahmoud Abdalkader Alarabi, yang mewakili sebuah syarikat, dengan mendakwa bahawa kedua-dua tertuduh akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke dalam akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd, milik tertuduh pertama (Wan Ahmad Farhaan).
Dua tertuduh ini didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 17 Mac 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Selepas prosiding, Wan Ahmad Farhaan dan Mohd Fami berkata, mereka berasa lega kerana pihak pendakwaan menarik balik rayuan.
“Kami dapat meneruskan perniagaan dengan lebih lancar, dan keputusan ini membuktikan kami berdua tidak melakukan kesalahan itu,” kata Mohd Fami.



