Dua remaja, 15, lemas di Tuaran, Kudat

2 Sep 2025 • 4:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama keluarga di Pantai Sabandar di sini, Ahad, ditemukan lemas pada hari yang sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 7.05 malam.

“Mangsa ditemui di tepi pantai kira-kira 1 kilometer dari lokasi akhir mangsa dilaporkan hilang pada hari sama.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Mohamad Nor, seramai 14 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu terlibat dalam operasi berserta enam jentera, bot dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi SAR turut dijalankan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung berhampiran,” katanya.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.23 petang dan operasi ditamatkan pada 7.50 malam.

Di KUDAT, aktiviti sekeluarga bermandi manda di Pantai Simpang Mengayau pada Ahad berakhir tragedi apabila seorang remaja lelaki meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, PPgB Darickson Galanang berkata, mangsa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh pasukan penyelamat pada jam 1 petang, kira-kira 400 meter dari tepi pantai.

Darickson berkata, mangsa terus dibawa naik ke tepi pantai dan diberikan bantuan pernafasan oleh pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.43 petang oleh pihak KKM. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Darickson berkata, seramai lapan anggota diketuai oleh PBK I Mohd Najib Jasri bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari menerusi talian balai.