
JERANTUT - Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Embun di sini pada Khamis.
Mangsa iaitu Mohd Safwan Zamri dan Mohd Hanafi Romzi ditemui oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.07 petang.
**media[2216394]**
Menurutnya, seorang pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Sampai di lokasi didapati benar berlaku kejadian melibatkan dua remaja lelaki lemas di sungai.
"Kedua-dua mangsa telah dijumpai oleh orang awam sebelum bomba hadir ke lokasi kejadian," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Zulfadli, kedua-dua mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

