Dua rentung lapan rumah kedai terbakar

18 Sep 2023 • 9:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kebakaran menyebabkan kira-kira lapan buah rumah kedai musnah terbakar.

image is not available
Orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian di pekan Kota Kuala Muda, Kedah.

image is not available
Kebakaran membabitkan sekurang-kurangnya lapan unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda, Kedah pada Isnin.

KOTA KUALA MUDA - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya dua mangsa rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan kira-kira lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas di pekan Kota Kuala Muda pada Isnin.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1 pagi itu dikatakan bermula dari sebuah kedai pakaian sebelum merebak ke premis bersebelahan.

Seorang saksi, Chu Ah Nya, 75, berkata, semasa kejadian, dia sedang nyenyak tidur di premis paling hujung sebelum terdengar ketukan pintu dari luar.

Pada mulanya, Ah Nya berkata, dia enggan membuka pintu kerana bimbang didatangi individu tidak dikenali berikutan masih mengingati peristiwa dibelasah penjenayah dua tahun lalu.

"Saya cuba buka pintu kecil dulu, tengok ramai orang kat luar, bomba pun ada, terus keluar nak tahu apa yang jadi," katanya.

Ah Nya yang menetap di premis itu lebih 50 tahun menceritakan, pada jam lebih kurang 9.30 malam, dia telah masuk tidur sebelum dikejutkan orang ramai kira-kira jam 12.50 tengah malam ketika api sedang marak.

Dia bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum dimaklumkan terdapat mangsa yang terkorban dalam kejadian terbabit.

"Walaupun kaki sakit sebab kelam kabut jalan cepat-cepat keluar, namun saya lega kerana selamat," jelasnya.

Sementara itu, dua mangsa rentung dalam kebakaran terbabit telah berjaya dikeluarkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 1.12 pagi.

Menurutnya, mangsa pertama telah ditemukan pada jam 3.19 pagi manakala mangsa kedua ditemukan jam 6 pagi.

"Kedua-dua mayat telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

**media[2350089]**

Jelasnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 3.08 pagi.

"Kejadian melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat kelas B dan kemusnahan hampir 80 peratus setiap sebuah.

"Tindakan 'total overhaul' masih dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai identiti mangsa sedang disiasat.

Difahamkan, pasukan bomba kini sedang melakukan operasi pencarian membabitkan seorang lagi mangsa yang dipercayai rentung.