Dua rentung nahas empat kenderaan

LocalCars
16 Oct 2022 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba memadam kebakaran dalam kemalangan maut di KM45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Sabtu.

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Dua rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (km) 45.7, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, pada Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kemalangan melibatkan kereta Proton Wira, Proton Preve dan Toyota Vios serta sebuah lori Isuzu.

Katanya, mangsa yang rentung dalam kereta Proton Wira dikenali sebagai Nurul Nazihah Kamarulul Arifin, 28, manakala identiti seorang lagi mangsa rentung yang menaiki Toyota Vios masih belum diperolehi.

"Seramai 16 anggota bomba dari BBP Renggam dan Kulai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 malam.

Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah lori terbakar 70 peratus manakala Proton Wira dan Vios terbakar 90 peratus akibat kemalangan jalan raya yang turut melibatkan sebuah Proton Preve.

"Terdapat seorang wanita yang berada di bahagian tempat duduk penumpang kereta Proton Wira tersepit dan ditemui rentung manakala pemandu kereta terbabit berjaya keluar dengan selamat.

"Seorang lagi mangsa ditemui rentung dalam Toyota Vios. Kesemua mangsa di dalam lori dan Proton Preve tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi satu minit 37 saat yang menyayat hati memaparkan seorang lelaki memaklumkan isterinya di dalam kereta yang terbakar itu.

Kedengaran jeritan lelaki terbabit di dalam video itu menyebut "ALLAH Allahuakbar. Yang (sayang), saya tak tinggal awak yang...ALLAH. Sumpah, saya tak tinggal awak yang, ALLAH.. Itu bini saya bang....ALLAH, ALLAH,ALLAH."

Lelaki tersebut dilihat ditenangkan pengguna jalan raya lain.