Dua ‘runner’ mengaku tidak bersalah culik, cedera dan ugut mangsa

28 Dec 2022 • 4:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Dua pekerja di sebuah syarikat kewangan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik, mencederakan dan mengugut seorang lelaki, minggu lepas.

Tertuduh Tan Jun Xian, 32, dan Wong Yu Yang, 26, yang bekerja sebagai penghantar barang atau runner dituduh secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Low Chong Yeow, 31, di Jalan Kelasah, Seberang Jaya di sini kira-kira 3 petang pada 20 Dis lepas.

Tan dan Wong didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Wong secara bersama didakwa menculik Low di tempat dan pada waktu sama dan bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Sementara itu, Wong turut didakwa dengan pertuduhan mendatangkan ketakutan kepada Low bagi tujuan pemerasan dengan ancaman mencederakannya pada kira-kira 4 petang pada hari sama di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya.

Wong didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya manakala Wong dikenakan ikat jamin RM15,000 bagi tiga pertuduhan.

Mohd Harith menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen.-Bernama