Dua saintis China rangkul Anugerah Tenaga Global 2023 bawa pulang wang tunai AS$430,000
zulfadli
20/07/2023 - 18:18
KUALA LUMPUR 20 Julai - Dua saintis dari China merangkul Anugerah Tenaga Global 2023 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah AS$430,000, yang dianjurkan Persatuan Tenaga Global untuk Projek dan Penyelidikan Kemajuan Tenaga Antarabangsa.
Zhong Lin Wang yang merupakan Pengarah Pengasas Institut Tenaga Nano dan Sistem Nano Beijing muncul sebagai pemenang dalam kategori 'Tenaga Bukan Konvensional', Profesor Universiti Shanghai Jiao Tong, Ruzhu Wang diberi penghormatan menerusi anugerah kategori 'Cara Baharu Penggunaan Tenaga'.
Ketua Jawatankuasa Anugerah Antarabangsa (IAC), Rae Kwon Chung berkata, penyelidikan terkini yang dijalankan pemenang anugerah tersebut memberikan sumbangan yang besar terhadap kemajuan bekalan tenaga luar grid dan kecekapan tenaga.
"Kejayaan bidang ini adalah sangat penting untuk masa depan peralihan tenaga dan sekali lagi menggariskan hubungan rapat antara sains asas dan penggunaan praktikalnya dalam sektor tenaga," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ruzhu yang menerima anugerah ini sebagai mengiktiraf penyelidikan rintisnya dalam bidang penyejukan penyerapan.
Penyelidikan terkininya melibatkan kemajuan yang cukup besar dalam penggunaan tenaga haba berkualiti rendah untuk mencapai penyejukan yang sangat cekap.
Tambahan lagi, sumbangan penting beliau terhadap pembangunan pam haba berasaskan penyahlembap telah berjaya menggandakan kecekapan tenaga yang amat besar bagi penggunaan penyejukan dan juga pemanasan.

Anugerah kedua diberikan kepada Zhong menerusi reka cipta terkini penjana nano triboelektrik, yang merupakan teknologi tenaga termaju yang digunakan dalam sistem berautonomi, internet kebendaan (IoT), robotik, kecerdasan buatan (AI), dan penuaian tenaga biru berskala besar.
Anugerah Tenaga Global terdiri daripada anugerah dalam tiga pencalonan yang berbeza, dan dana hadiah berjumlah AS$430,000 diagihkan sama rata kepada para pemenang.
IAC, yang dipengerusikan pemenang Hadiah Nobel Keamanan iaitu Rae Kwon Chung, terdiri daripada 16 orang ahli sains yang dihormati dari 11 negara termasuk China, Hungary, India, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Switzerland, UAE dan AS.
Memandangkan tiada pemenang pada tahun ini, Persatuan Tenaga Global telah membuat keputusan untuk menganugerahkan Diploma Terhormat dalam bidang ini.
Penerima pengiktirafan ini ialah penyelidik veteran Serbia, Ljubivoje Popovic, yang mendapat penghargaan atas sumbangan penting beliau dalam pembangunan metodologi bagi menentukan ciri-ciri tali kabel voltan tinggi dan voltan lebih tinggi. - DagangNews.com




