
BANGKOK: Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) hari ini menerima dua warga Thailand yang disyaki pengedar dadah, diekstradisi dari Malaysia.
Setiausaha Agung ONCB Pol. Leftenan Jeneral Panurat Lakboon berkata Pejabat Wilayah ONCB 9, Polis Wilayah Narathiwat, Polis Imigresen Narathiwat dan pegawai tentera dari ISOC Wilayah 4, menerima suspek yang diekstradisi di sempadan Thailand-Malaysia di Daerah Sungai Kolok, Wilayah Narathiwat hari ini.
“Tangkapan itu berpunca daripada rampasan dadah yang berlaku di Wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand pada 3 Nov 2023. Polis menemukan 499 kilogram syabu dan 100 kilogram ketamin yang disembunyikan dalam trak pikap yang terlibat dalam kemalangan. Pemandu lori, melarikan diri dari tempat kejadian.
“Dua lagi suspek turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. Mereka ditahan di Malaysia kerana masuk secara haram dan seterusnya dihantar pulang ke Thailand,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ONCB akan memperluas siasatan kepada semua individu yang terlibat dalam kes itu, yang melibatkan sejumlah besar dadah.
Panurat juga percaya rangkaian itu mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah di bahagian selatan Thailand, termasuk penghantaran ke negara ketiga melalui kawasan sempadan atau kapal kargo.
Beliau juga menyatakan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman Thailand mempunyai dasar untuk secara proaktif meneruskan kerjasama dengan negara asing.
Beliau juga berkata ONCB akan menyelaras dan bekerjasama dengan negara jiran untuk membawa pulang suspek berkenaan untuk didakwa di Thailand. -Bernama

